Saturday, May 14, 2011

Tevez boleh Pergi >>>Mancini

LONDON - Roberto Mancini memberitahu Carlos Tevez bahawa dia boleh meninggalkan Manchester City sekiranya sudah tiada minat bersama kelab itu lagi.
Masa depan kapten City itu mula menjadi perhatian setelah dia sebelum ini dilaporkan mahu berpindah pada musim panas nanti.
Pengurus City, Mancini memberitahu Tevez yang bernilai £40 juta (RM195 juta) dia boleh pergi sekiranya tidak gembira di Eastlands.
"Carlos masih mempunyai kontrak selama lima tahun, tetapi pada pendapat saya, seseorang pemain sepatutnya kekal di sini kerana dia harus percaya dengan perancangan dan gembira dengan kelab ini," kata Mancini.
"Kalau saya tidak gembira di sini, maka saya akan pergi. Sama juga dengan pemain. Jika mereka tidak mahu kekal di sini, lebih baik mereka pergi saja.
"Apabila kamu menjalankan tugas, kamu harus gembira kerana musim ini sangat panjang dan mungkin akan berdepan banyak masalah.
"Saya tidak pernah kata bahawa Carlos mahu pergi, apa yang saya maksudkan ialah ia adalah keputusannya. Buat masa ini dia masih ada kontrak lima tahun.
"Dia telah menjaringkan 22 gol dan ianya sangat penting bagi kelab ini. Tetapi kami berada di tahap ini sekarang kerana sumbangan semua pemain kami.
"Saya boleh katakan bahawa semua pemain ketika ini gembira untuk kekal di sini kerana musim ini mereka telah berusaha keras bersama-sama dan berjaya membawa kelab ini ke Liga Juara-Juara."
Real Madrid dan Inter Milan dikatakan berminat mendapatkan Tevez dan lembaga pengarah City kini mula menerima hakikat bahawa jalan penyelesaian terbaik ialah dengan menjual kapten mereka itu musim panas ini. - Agensi
Share