Monday, May 16, 2011

CHICARITO Impak Besar Red Devils..

Apabila satu rembatan daripada Javier Hernandez menggegar jaring ketika latihan pra-musim Manchester United musim panas lalu, Paul Scholes bertemu Alex Ferguson dan memberikan pandangannya. Dalam hanya beberapa hari, Scholes sudah cukup melihat tindakan penamat pemusnah Hernandez dan berasa yakin Ferguson berjaya melakukan satu belian terbaik musim ini lantas dia meramalkan penyerang Mexico itu mampu menjaringkan 20 gol dalam musim sulungnya.

Keyakinan Scholes bahawa Hernandez akan membuat impak sebagai pemain gantian dilihat terlalu optimis memandangkan dia bukannya pemain ternama dalam dunia bola sepak apabila tiba di Old Trafford daripada kelab Mexico, Guadalajara.
Malah Ferguson turut berasa pemain muda itu memerlukan sekurang-kurangnya setahun untuk menyesuaikan diri dengan permainan pantas dan fizikal Liga Perdana Inggeris.

Namun Hernandez, dengan nama jolokan Little Pea, melepasi kedua-dua jangkaan mereka.

Dia adalah pemain pertama sejak Ruud van Nistelrooy 10 tahun lalu untuk menjaringkan 20 gol dalam semua pertandingan ketika musim sulungnya buat United dan dianggap sebagai satu daripada punca kejayaan pasukannya merampas kejuaraan daripada genggaman Chelsea. “Paul Scholes menyaksikannya ketika latihan dan berkata dia boleh menyumbat 20 gol sebagai seorang pemain gantian,” kata Ferguson.

“Kami tidak jangkakan impak sebegitu. Kami fikir setahun untuk memperkenalkannya kepada kelab dan menyesuaikan diri dengan bola sepak Inggeris dan memantapkan persembahannya.

“Dia sudah melakukan semua itu. Dia datang setiap hari jam 9 pagi dan dia adalah yang terakhir meninggalkan padang latihan, dia amat berdedikasi.” Daripada saat dia menjaringkan gol pertamanya buat United ketika penampilan sulungnya pada jelajah pra-musim di Amerika Utara tahun lalu, Hernandez pantas menyesuaikan diri.
Tandukan menakjubkan menentang Stoke benar-benar membuktikan kehadirannya dan sumbangannya ternyata turut bermakna pada kempen Liga Juara-Juara, dengan gol pada peringkat kalah mati menentang Marseille dan Chelsea membantu United mara ke perlawanan akhir.

Awal tahun ini dia memantapkan dirinya sebagai pemain utama dalam skuad United dan kemudian menyebabkan pemain yang dibeli dengan harga �30 juta (RM146 juta), Dimitar Berbatov memanaskan bangku pemain simpanan ketika Ferguson mengubah formasinya bagi membolehkan Wayne Rooney mencetus huru-hara bertindak sebagai penyerang di belakang Hernandez.
Share